Apabila memenuhi jemputan majlis perkahwinan, mata tetamu pasti tak lepas memandang pasangan pengantin dalam busana mereka dan hiasan pelamin itu sendiri.
Bertepatan dengan panggilan ‘raja sehari’ – pastinya setiap pengantin mahu tampil terbaik di hari persandingan mereka.
Namun dalam sedar tak sedar, banyak kesalahan yang biasa dilakukan oleh bakal pengantin dalam memilih baju pengantin.
Baca lebih lanjut artikel ini untuk mengelakkan kesilapan dalam memilih baju pengantin.
Tanyalah mana-mana pasangan pengantin, waktu memilih busana pernikahan atau persandingan pasti menjadi saat yang paling mengujakan.
Bayangkan memakai pakaian pengantin yang menjadi impian, tampil segak dan cantik di hari bahagia yang dihadiri keluarga dan kenalan.
Tak salah pun jika anda menjadi cerewet ketika memilih pakaian pengantin selain jangan lakukannya dalam keadaan tergesa-gesa.
Di bawah kami kongsikan sembilan (9) kesilapan dalam proses memilih baju pengantin akan memberi kesan kepada penampilan anda kelak.
1. Keliru Memilih Baju
Perlu ingat, memilih baju kahwin adalah sangat berbeza dengan cara anda shopping di hujung minggu di shopping mall.
Anda perlu teliti dengan beberapa perkara seperti konsep majlis, gaya bersesuaian dengan bentuk badan, padanan bersama pasangan dan warna.
Pertama, sentiasa berbincang dengan tailor anda apakah fesyen bersesuaian dengan anda dan pasangan dan tetapkan pendirian supaya tidak rambang mata.
Kedua, bawa orang yang anda percaya memberi pendapat jujur tentang penampilan anda bersama pakaian pengantin.
Ketiga, elakkan membawa terlalu ramai teman kerana ini akan membuatkan anda berasa serba salah dengan pilihan yang dibuat.
2. Survey Fesyen Baju Pengantin
Setiap pengantin pasti mahu menjadi paling cantik dan segak di majlis mereka.
Jadi, rajin-rajinkanlah diri anda untuk mencari fesyen baju pengantin yang terkini atau timeless sama ada di majalah fesyen atau carian di Internet.
Tak salah pun jika anda inspirasikan gaun pengantin Kate Middleton, isteri kepada Putera Charles dalam gaya baju pengantin anda.
Kemudian sesuaikanlah pula dengan konsep majlis anda.
3. Elak Cuba Satu Gaya Sahaja
Jangan terhadkan pilihan anda hanya kerana anda suka dengan sesuatu perkara itu.
Seperti contoh, anda gemar dengan warna putih untuk gaun sanding anda dan hanya mencuba pilihan dalam warna berkenaan sahaja.
Kesilapan ini menyebabkan anda ketinggalan dengan warna-warna lain yang mungkin lebih sesuai untuk anda.
Begitu juga dengan gaya dan fesyen baju pengantin. Tak salah untuk anda mencuba pilihan lain yang ada di butik pengantin tersebut.
4. Menempah Busana Dengan Saiz Lebih Kecil
Menjadi kebiasaan bakal pengantin untuk mengamalkan diet sebelum hari majlis mereka.
Kononnya mahu nampak kurus dan kelihatan cantik dalam persalinan mereka, sehingga meminta tailor membuat baju mereka dengan saiz yang lebih kecil.
Elakkan melakukan kesilapan ini!
Setiap baju pengantin yang dihasilkan mempunyai basi atau lebihan kain sama ada untuk mengecilkan atau membesarkan potongan mengikut badan si pemakai ketika sesi fitting.
Jangan risau, tailor pasti tahu kerja mereka.
5.Pilih Gaya Yang Anda Tak Suka
Perlu ingat, jangan biarkan orang lain melebihi pendapat anda dalam pemilihan baju pengantin kerana ia adalah pakaian anda.
Contohnya, hanya kerana pasangan anda suka dengan sesuatu baju itu membuatkan anda terpaksa memilihnya.
Pastinya anda tidak mahu perkahwinan yang lebih dari sekali, jadi buat pilihan baju pengantin yang sememangnya menjadi impian anda dan paling disukai.
6.Tempoh Membeli Atau Menempah Baju
Jika anda bercadang untuk menempah baju, lakukannya dalam tempoh tiga atau lima bulan sebelum majlis.
Ini kerana anda perlu melakukan sesi fitting baju sekurang-kurangnya dua kali sebelum ia siap sepenuhnya.
Elakkan membeli atau menempah baju di saat-saat akhir kerana menyebabkan pilihan anda menjadi terhad dan semestinya mengganggu mood dan persiapan anda.
7.Tak Buat Bajet
Dinasihatkan bakal pengantin menyenaraikan peruntukan untuk setiap persiapan majlis perkahwinan anda.
Contohnya untuk baju pengantin, anda perlu tahu berapa yang boleh dibelanjakan supaya anda tidak terlebih belanja.
Sebagai langkah penjimatan, anda boleh pergi ke ekspo perkahwinan kerana banyak pakej dan promosi sempena majlis perkahwinan ditawarkan. Pasti berbaloi!
8. Bra dan Korset Yang Sesuai
Ini adalah di antara perkara yang sering dilupakan pengantin perempuan ketika memilih baju pengantin.
Pastikan anda memilih bra dan korset yang sesuai agar boleh menyerlahkan bentuk tubuh.
Tak salah laburkan sedikit wang demi majlis anda.
9. Elak Melihat Baju Lain Selepas Buat Pilihan
“Eh, cantik juga baju ni.”
Setelah membuat pilihan pakaian pengantin yang dinging, ada orang yang mahu memilih pakaian lain.
Sekiranya anda tidak mahu berasa keliru, elakkan untuk melihat pakaian lain setelah membeli ya.
Semoga tips ini membantu!