Skip to main content

“Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, merupakan satu peribahasa sesuai untuk menggambarkan pemakaian baju Melayu tradisional dalam kalangan masyarakat.

Pakaian ini banyak dikenakan pada majlis rasmi atau perayaan. Sangat berbeza dengan zaman terdahulu, ianya dipakai sebagai baju harian.

Mari ikuti artikel ini untuk mengetahui adakah baju Melayu akan ditelenggami zaman kerana ‘lapuk’ dek adat.

Baju Melayu Lengkap

Baju Melayu kini dikenali dengan pakaian tradisional lelaki yang berbaju lengan panjang, seluar panjang dan hiasan diri iaitu songkok dan samping.

Baju dan seluar tersebut dijahit berkekek dan berpesak. Ia menggunakan fabrik kapas atau gabungan fabrik yang berlainan untuk memberikan sedikit kelainan pada kainnya.

Pada zaman pemerintahan Sultan terdahulu, Baju Melayu dicipta tanpa berlengan atau berlengan pendek tiga suku. Manakala, seluar pula pendek sehingga paras betis kaki. 

Tambah lagi, apabila penciptaan baju Melayu cekak musang dan baju Melayu teluk belanga waktu itu kebiasaannya dipakai oleh golongan Raja dan bangsawan sahaja.

Jenis-Jenis Baju Melayu

Terdapat tiga jenis baju Melayu iaitu baju sikap atau baju layan, baju Melayu teluk belanga dan baju Melayu cekak musang.

1) Baju Layang atau Baju Sikap

Pakaian ini yang hanya disarungkan oleh golongan bangsawan yang berketurunan Raja dan orang yang mempunyai gelaran seperti Datuk, Tun dan seangkatan dengannya.

2) Baju Melayu Teluk Belanga

Baju Melayu tradisional ini diperkenalkan pada waktu pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar. 

Pada waktu pemerintahan tersebut, baju Melayu teluk belanga agak labuh sehingga ke bawah punggung. Leher baju pula berlapik lebar dan juga disertai dengan baju berkocek dua.

Walaubagaimanapun, baju ini diubahsuai atas cadangan Menteri Besar Johor yang pertama. 

Kocek baju Melayu tersebut kini berkocek tiga. Manakala alas leher bajunya menjadi halus seperti baju perempuan.

Seluar baju Melayu tradisional ini pula seakan seperti seluar Cina kerana kakinya lebih luas dan bertongkah.

Antara jenis seluar yang dipakai oleh para lelaki iaitu:

  • Seluar sampak – paras peha
  • Seluar katok – paras lutut
  • Seluar acheh – paras betis

Songkok pula menjadi hiasan kepala bagi sebahagian pakaian baju Melayu Teluk Belanga.

3) Baju Melayu Cekak Musang

Ia dinamakan baju Melayu cekak musang kerana bentuk lingkaran leher baju. Ada juga yang mengaitkannya dengan  ‘cekak’ tinggi atau leher tegak. Saiz cekak baju adalah sehingga 2.5cm melingkari leher. 

Rekaan butang baju pula terdapat 3 iaitu  butang tiga, butang empat dan butang lima. 

Pereka Sebenar Baju Melayu Teluk Belanga

Baju Melayu yang mempunyai reka bentuk kolar teluk belanga ini dikatakan direka oleh Sultan Abu Bakar sendiri pada awal abad ke-18. 

Penciptaan pakaian ini dijadikan satu peringatan peristiwa kerajaan Johor terhadap perubahan pusat pemerintahannya dari Teluk Belanga kepada Tanjung Puteri.

Baju Melayu Teluk Belanga ini dikenali sebagai pakaian acara rasmi seperti acara kebangsaan, perayaan rasmi mahupun hari istimewa Yang di-Pertuan Agong. 

Tetapi, pakaian Melayu Johor ini masih popular dipakai oleh para jejaka sehingga ke hari ini dan bawa ke majlis hari perayaan dan juga majlis perkahwinan.

Baju Melayu Sikap Dan Baju Melayu Layang

Terdapat beberapa perbezaan yang boleh dilihat di antara baju Melayu sikap dan baju Melayu layang. 

1) Baju Melayu Sikap

Baju Melayu Sikap merupakan pakaian yang telah lama dipakai oleh keluarga diraja Kedah iaitu sejak dua abad yang lalu.

Asal usul baju sikap ini ialah dari masyarakat Jawa atau Aceh. Tetapi, baju tersebut telah diubah suai mengikut citarasa masyarakat kita di sini. 

Baju Sikap itu dianggap seperti sehelai jaket pendek yang mempunyai belahan di hadapan dan juga direka untuk berkolar tinggi seperti cekak musang.

Pakaian ini sudah menjadi sebahagian daripada pakaian rasmi dan boleh dipakai semasa bertandang ke majlis Istiadat-Istiadat Rasmi Negeri.

Apabila baju sikap ini telah membawa maksud kepada keperibadian. Jadi para lelaki yang memakai baju sikap ini akan terserlah nampak lebih bersedia dan tegas dari biasa.

2) Baju Layang

Baju Layang ini biasanya dikenali sebagai Baju Untuk Terbang ataupun Kain Yang Dipakaikan Dari Bahagian Belakang. 

Berdasarkan Dewan Bahasa, baju ini memegang konsep makna baju untuk terbang.

Perkataan baju layang itu sendiri sudah lama tidak diguna pakai oleh orang kita, kerana ianya biasa digunakan oleh orang istana dalam adat istiadat.

Selain itu, baju layang juga biasa dipakai oleh orang-orang dalam pertempuran bagi mengelak diri daripada anak panah dan pedang mudah terkena samada dari tepi dan belakang.

Baju ini ibarat mempunyai kain bahagian luar belakang juga seperti yang dipakai oleh Sultan Selangor. Potongannya berkerut, tapi wajib mempunyai kekek dan pesak.

Hiasan Kepala Baju Melayu

Baju Melayu tidak lengkap tanpa hiasan kepala seperti tanjak, destar mahupun ikat kepala.

Setiap hiasan kepala yang dipakai pada ketika itu merujuk kepada darjat dan pangkat seseorang termasuk dari segi cara ikatan dan lipatannya.

Bagi rakyat biasa, puncak tanjak atau ‘daun’ perlu dihalakan ke sebelah kiri. Manakala, bagi golongan bangsawan dan di puncak tanjak dihalakan ke sebelah kanan.

Cara pemakaian ekor tanjak atau ‘pucuk’ pula perlu disimpan dalam dan ini boleh diaplikasikan pada semua rakyat biasa kecuali bagi golongan Raja-raja.

Pucuk ini menandakan satu lambing kuasa yang ada pada seseorang itu. Jiks makin tinggi lapitan tanjaknya, makin tinggi darjatnya.

Kancing Baju Melayu

Baju Melayu berkolarkan leher cekak musang mempunyai rekaan bentuk kancing baju berbeza dengan baju Melayu leher berteluk belanga.

Baju Melayu cekak musang mempunyai 5 butir kancing, iaitu 2 butir bertindih di cekak leher dan 3 butir di belahan bawah leher.

Baju teluk belanga mempunyai satu butir kancing sahaja.

Maksud Di Sebalik Butang Baju Melayu

Setiap butir-butir di baju Melayu membawa makna yang berlainan dan terdapat falsafahnya yang tersendiri.

Bagi Baju Melayu yang direka dengan kolar cekak musang, 5 butir kancing merujuk kepada 5 rukun Islam. 

Baju Melayu berkolar teluk belanga yang mempunyai satu butir kancing membawa makna Tauhid, iaitu hanya merujuk kepada satu Tuhan Yang Maha Esa yang patut disembah. 

Boleh baca lebih lanjut mengenai info ini di sini.

Seluar Baju Melayu

Pada zaman terdahulu, para lelaki gemar memakai pelbagai jenis rekaan dan potongan seluar. Antara jenis seluar yang dipakai oleh mereka ialah seperti berikut:

Seluar sampak – hanya paras peha

Seluar katok – hanya paras lutut

Seluar Acheh – hanya paras betis

Tetapi, seluar gaya gunting Acheh akan sentiasa menjadi seluar pilihan golongan bangsawan dan pahlawan. Hal ini demikian kerana seluar tersebut direka dengan buatan kekek yang agak besar.

Berlainan pula dengan golongan Sultan yang hanya memilih untuk menggayakan dengan seluar gaya gunting Cina, yang hanya dibuat kekek yang kecil.

Sampin Baju Melayu

Perkataan sampin ini berasal daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Walaubagaimanapun, perkataan sampin bertukar ke perkataan samping selepas baju Melayu disebarkan ke Kepulauan Riau pada ketika itu.

Selain itu, cara pemakaian samping bersama baju Melayu pada zaman tersebut membezakan status seseorang pedagang, samada pedagang dalam atau luar.

Penduduk asal di kawasan tersebut mengenakan sampin dengan cara kain sampin dipakai di bawah baju Melayu, iaitu baju berada di luar. Cara ini dipanggil ‘Berdagang Dalam’.

Bagi golongan pendatang pedagang pula mengenakan samping dengan cara kain sampin dipakai di atas baju dan baju diselit ke dalam kain. Cara ini dipanggil ‘Berdagang Luar’.

Terdapat juga cara mengikat samping mengikut pangkat dan darjat seseorang seperti ikatan pancung, ikatan kembung dan ikatan lingkup.

  • Ikatan pancung – Golongan Raja, Sultan dan kerabat sahaja.
  • Ikatan Kembung – Golongan Pembesar dan orang-orang yang mempunyai gelaran.
  • Ikatan Lingkup – Golongan rakyat biasa, tanpa pangkat dan gelaran

Maksud Di Sebalik Sampin

Pemakaian sampin pada baju Melayu ini dikatakan satu pelengkapan dan diiringi dengan pelbagai jenis sampin.

Sampin yang dipakai sehingga ke bawah paras lutut menunjukkan si pemakai sudah berstatus berkahwin dan mempunyai pasangan, iaitu isteri.

Manakala sampin yang dipakai atas paras lutut pula menandakan si pemakai masih berstatus bujang dan tidak mempunyai pasangan hidup lagi.

Tambahan info, jika si pemakai itu sudah bergelar suami dan masih memakai sampin di atas paras lutut, itu bermakna si dia masih memasang niat untuk menambah isteri lagi.

Boleh baca lebih lanjut mengenai info ini di sini.

Bukan Hanya Untuk Golongan Bangsawan 

Pada zaman kerajaan Melayu Melaka, proses evolusi pakaian Melayu mencapai tahap tertinggi. Rekaan ini dihasilkan sekitar 700 tahun lalu semasa Sultan Melaka mahukan pakaian diraja.

Baju tersebut dipakai oleh golongan bangsawan yang berdarah Raja dan bergelaran Datuk, Tun dan sebagainya. 

Golongan istana dan bangsawan menggunakan aksesori seperti kerongsang dipadankan dengan pakaian tradisional tersebut.

Disebabkan pentingnya pemakaian ini dalam masyarakat Melayu, ramai anak muda mula menanam minat untuk mengenakan pakaian tradisional tersebut, termasuk tanjak.

Tambahan, masyarakat Melayu sangat menitikberatkan keperibadian luhur dan murni, jadi pakaian tersebut harus diusahakan kekal sejajar dengan perkembangan dunia fesyen tanah air.

Baju Melayu Tetap Menjadi Pilihan

Baju Melayu yang tulen merupakan konsep pemakaian yang mencerminkan moral kesantunan bagi para lelaki di luar sana, selagi ianya menutup aurat, kemas dan selesa di badan.

Tapi, baju Melayu moden sudah lari dari konsep baju Melayu tradisional yang mengekalkan elemen tradisi yang dimiliki ratusan tahunnya.

Baju Melayu ini seperti kemeja longgar yang dipakai dengan seluar panjang. Kain sampin pula diikat kemas di bahagian pinggang serta ditambah dengan perhiasan diri.

Hiasan diri tersebut ialah tanjak, songkok dan selipar capal. 

Dengan memakai perhiasan seperti ini sambil menggayakan dengan pakaian klasik, ia mampu mengekalkan keaslian budaya Melayu sehingga hari ini.

Bukan itu sahaja, baju Melayu diketengahkan sebagai pakaian seragam seni mempertahankan diri Melayu. Contoh seperti seni silat.

Terdapat juga beberapa baju Melayu yang pegang kepada konsep tradisional dan klasik. Contoh seperti Baju Melayu Lekir dan Baju Melayu Hang Tuah.

1) Baju Melayu Lekir

Baju ni diperbuat daripada dengan material kain jenis Royale Cotton. Baju ini mempunyai reka bentuk yang santai dan tidak menutup bahagian leher.

Terdapat 3 potongan baju yang terdiri daripada relax fit, slim fit dan tradisional.

2) Baju Melayu Hang Tuah

Baju ini diperbuat daripada material jenis satin Amuzen. Bajunya agak beralun dan kelihatan lebih bersinar pada si pemakainya. 

Konklusinya baju Melayu ini perlulah dikekalkan ciri-ciri tradisionalnya dan perlu sentiasa dipelihara nilai budaya Melayu itu sendiri.

Omar Ali ini merupakan jenama fesyen yang mengeluarkan dan menjual pakaian tradisional seperti baju Melayu di Malaysia. 

Omar Ali juga menerima tempahan pakaian dan boleh pre-order baju yang dikehendaki dari laman webnya.

Antara baju Melayu yang ada ialah:

  • Baju Melayu Sejarah
  • Baju Melayu Warna Warni
  • Baju Melayu Woolen Satin 
  • Baju Melayu Lekiu
  • Baju Melayu Jebat

Jika anda berminat ingin tahu lebih lanjut mengenai busana Melayu dari Omar Ali, boleh hubungi mereka di sini.