Skip to main content

BAJU Melayu merupakan pakaian kebangsaan yang dipakai oleh golongan lelaki. Secara amnya, ia mengandungi dua bahagian utama iaitu kemeja berlengan panjang yang mempunyai gaya kolar dijahit dengan gaya cekak musang.

Kedua, pelengkap baju ini ialah seluar yang dipadan dengan sampin.

Kebiasaannya, baju Melayu dijahit menggunakan fabrik kapas atau campuran yang selesa dipakai.

Manakala, sampin ibarat gaun hiasan yang menggunakan fabrik songket.

Sebagai pelengkap pakaian ini, orang lelaki akan memakai songkok.

Dahulu, songkok menjadi kebanggaan masyarakat Melayu dan lebih sinonim dengan warna hitam.

Di Johor, rekaan baju Melayu adalah berbeza. Bajunya dihasilkan tanpa kolar dan sampin dipakai di bawah baju.

Jika diteliti, reka bentuk kolar atau potogan lehernya menyerupai baju kurung atau dipanggil Teluk Belanga. Jahitan pada leher tersebut pula dikenali sebagai jahitan tulang belut dan dikancing satu butang.

Baju Melayu Teluk Belanga, dikatakan direka oleh Sultan Abu Bakar sendiri sebagai peringatan perubahan pusat pemerintahan kerajaan Johor dari Teluk Belanga kepada Tanjung Puteri.

Baju Melayu juga lebih dikenali sebagai pakaian acara rasmi seperti acara-acara kebangsaan, perayaan rasmi, hari jadi Yang di-Pertuan Agong dan sebagainya.

Identiti ini turut dipakai oleh para duta Malaysia yang mengenakan baju Melayu berwarna hitam dan sampin songket benang emas.

Menjelang hari raya ataupun hari Jumaat, baju Melayu sering digayakan oleh golongan lelaki.

Sentuhan baju Melayu ini juga dipakai oleh masyarakat Islam di Singapura.

Di Indonesia, baju Melayu biasa dan Teluk Belanga antara yang popular terutamanya di kepulauan Riau, di barat Kalimantan dan beberapa wilayah lain.

Pada era ini, baju Melayu bukan sahaja menjadi pakaian ketika acara tradisional tetapi boleh digayakan ke majlis rasmi.

Bagi tukang jahit yang telah 20 tahun menghasilkan baju Melayu, Abd. Latif Saiman, 41, rekaan baju Melayu sekarang lebih kontemporari tetapi masih mengekalkan rekaan lama.

Tambahnya, sekarang permintaan baju Melayu bukan sahaja terhad kepada musim perayaan, malah masyarakat mula memakainya untuk majlis rasmi.

Misalnya, bagi menghasilkan pakaian yang kreatif, baju Melayu akan dihiasi dengan sulam atau pun labuci.

Rekaan ini dicipta untuk menarik generasi muda yang suka gaya moden. Malah, warna yang digunakan lebih terang dan ceria,” katanya.

Latif menjelaskan, terdapat perubahan gaya baju Melayu yang dipakai oleh anak muda kini. Misalnya, mereka gemar memadankan bahagian kemeja baju Melayu dengan seluar jeans yang lebih nampak kasual dan santai.

Namun, sebagai tukang jahit, Latif lebih gemar menghasilkan baju Melayu yang lengkap dengan seluar serta sampin dan songkok.

Sebagai tukang jahit, saya akan menggunakan daya kreativiti seperti mempelbagaikan corak, bentuk butang, kolar serta fabrik semata-mata mengekalkan bentuk asalnya.

Contohnya, kita menggunakan gaya pesak yang menggunakan jenis butang yang lebih menarik,” jelasnya.

Ujarnya, baju Melayu juga akan dikategorikan mengikut butang seperti butang bertindih, butang lima, V2 dan sebagainya.

Walaupun pelbagai variasi baju Melayu telah wujud, konsep asal masih perlu kekal.

Bercerita tentang sambutan pelanggan, Latif tidak menafikan permintaan akan lebih tinggi menjelang puasa (Ramadan) dan hari raya (Syawal).

Istimewanya baju Melayu

* Menggambarkan jati diri Melayu yang tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas.

* Pemakaiannya juga perlu dikekal sampai bila-bila agar tidak terhakis kerana ia warisan budaya dan melambangkan jati diri Melayu.

INFO

* Baju Melayu yang dikenali sebagai baju kurung Teluk Belanga direka sejak awal abad ke-18. Penampilan awalnya dikenal pasti sejak wujudnya ketuanan Melayu keturunan Temenggung yang bertapak di Teluk Belanga, Singapura. Berdasarkan sejarah orang Melayu keturunan Temenggung, Bugis Melayulah yang mencipta baju kurung Teluk Belanga ini.

* Ciri khas baju kurung Teluk Belanga ialah leher baju yang berbentuk bulan-bulan.

* Leher baju kurung pula dihiasi dengan sulaman tikam belut’ atau tulang pari’ dan kancing sebutir’. Baju kurung Teluk Belanga akan dikenakan dengan seluar panjang dan kain samping yang diikat di luar atau di bawah baju.

* Pakaian tradisional ini masih popular di kalangan masyarakat Melayu. Pada perayaan Hari Raya dan majlis–majlis perkahwinan, baju kurung Teluk Belanga tetap menjadi pilihan kaum lelaki, sama ada yang dewasa mahupun kanak-kanak.

Sumber: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0718&pub=utusan_malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_02.htm#ixzz5aWK93l36